1MALAYSIA
Monday, 02 November 2009 11:02AM
1Malaysia semakin dapat sambutan
PORT DICKSON 1 Nov. - Idea dan pemikiran
gagasan 1Malaysia semakin mendapat sambutan rakyat di seluruh negara
dan menjadikan hubungan rakyat lebih akrab.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais
Yatim berkata, hubungan yang akrab antara pelbagai kaum itu secara
tidak langsung meneguhkan lagi cita-cita kebangsaan di kalangan rakyat.
"Perayaan sebegini melibatkan semua kaum walaupun ceritanya ialah sambutan Deepavali.
Kita membawa perayaan itu di sini dan kita terjemahkan dalam semangat 1Malaysia.
"Ini dapat menunjukkan keakraban yang begitu jitu sekali di kalangan
semua kaum," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia
Deepavali di Ladang Siliau dekat sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin yang turut diiringi isteri beliau, Puan Sri Noorainee
Abdul Rahman.
Rais berkata, kehadiran begitu ramai melibatkan pelbagai kaum pada
majlis tersebut membuktikan bahawa mereka telah mengiktiraf semangat
setiakawan sesama sendiri.
Lebih 10,000 orang menghadiri majlis tersebut yang bermula sejak pukul 10 pagi ini.
Sumber : Utusan Malaysia
|